Isi buah kabung biasanya menjadi
bahan campuran dalam cendol, air batu campur dan hidangan lain. Kelembutan isinya
seumpama gula-gula getah dan rasanya manis.
Pokok kabung juga dikenali pokok kantor atau enau ialah satu spesies
pokok palma dalam famili Arecaceae yang
berasal dari Asia Tenggara. Nama botaninya arenga pinnata.
Buah kabung dihasilkan dari pokok matang dengan
buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter. Setiap tandan buah kabong mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah
kabung.
Buah kabung mempunyai kulit berwarna hijau, tidak
boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat
gatal.
Kerja memetik buah
kabung agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu. Selain perlu pandai memanjat, pemetik juga
perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan
getah yang menyebabkan badan menjadi gatal.
Proses mengeluarkan isi kabung
bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian
dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan
pengepit kayu.
Setiap biji buah kabung mempunyai
tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh
dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari.
Selain dengan cara merebus, satu
lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah kabung ialah
dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak.
Isi buah kabung yang siap diproses
amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding
atau ais kacang.
Selain itu, isi buah kabung segar
juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi.
Isi buah kabung ini
yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat
enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan.
Kandungan gizi buah kabung mengandungi kalori 164mg,
sodium 19.58 mg, potassium 170.88 mg, karbohidrat 42.61 g, protein 0.64 g, Vit
A 3.56 IU, vit C 0.89mg, calcium 78.32 mg, iron 0.52mg.
Buah ini mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu proses penghadaman. ia juga mengandungi karbohidrat yang boleh memberikan rasa kenyang dan memberikan tenaga.
Buah kabung mengandungi kalsium yang tinggi yang sangat baik untuk menguatkan tulang terutama bagi mereka yang alahan kepada susu.
Selain daripada menikmati buahnya yang enak, buah kabung
dikatakan berkesan untuk :
- Untuk mengubati demam
- Mengubati sakit perut.
- Mengubati sembelit.
- Mengurangkan noda-noda hitam di wajah
- Mencegah osteoporosis.