Sunday 15 January 2017

Didik pelajar jadi pemimpin

Golongan pelajar bakal jadi pemimpin pada masa hadapan. Ada cara boleh dipraktikkan didik pelajar jadi pemimpin. Pelajar adalah aset terpenting negara dalam semua aspek yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara pada masa hadapan. Justeru, golongan pelajar sentiasa mendapat perhatian dan diberi keutamaan dalam apa juga perkara bertujuan membina modal insan yang benar-benar berkualiti.

Apa saja yang melibatkan pelajar sewajarnya menjadi perhatian khalayak kerana masing-masing mengharapkan yang terbaik daripada golongan yang digantungkan harapan besar untuk membina kejayaan terbilang pada masa hadapan.

Perkara yang sering diungkapkan menjadi harapan semua pihak, terutama ibu bapa ialah supaya pelajar mencapai kecemerlangan dalam akhlak, moral, pendidikan dan keupayaan jasmani. Semua faktor itu dapat menjamin kelangsungan cita-cita dan wawasan negara untuk tempoh masa yang lebih jauh ke hadapan.

Hasil kegigihan generasi terdahulu dan sekarang, negara mampu mencapai kejayaan cemerlang mengatasi negara-negara lain yang tempoh kemerdekaannya hampir sama dengan negara kita. Justeru, satu harapan murni seperti yang disasarkan oleh pemimpin kita sekarang ialah mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.   

Untuk merealisasikan impian itu, negara memerlukan pewaris yang mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan, kepakaran, daya usaha, patriotisme dan jati diri. Para pelajar perlu sedar tanggungjawab besar yang diharapkan kepada mereka. 

Proses pertukaran kepimpinan berlaku setiap detik melibatkan semua peringkat. Setiap pelajar sedang melalui sebahagian daripada proses itu secara berperingkat. Semakin meningkat dewasa, tanggungjawab dan harapan itu semakin hampir dengan mereka. 

Bersedia atau tidak, apabila tiba masanya, golongan pelajar sekarang yang pada ketika itu telah dewasa akan mengambil alih kepimpinan negara secara berperingkat. Justeru, setiap pelajar bertanggungjawab mempersiapkan diri dan perlu bersedia untuk menjadi pewaris kepimpinan negara. 

Maksud pemimpin tidak terhad untuk jawatan perdana menteri, menteri dan ketua organisasi besar. Sebaliknya, pemimpin merujuk kepada semua lapisan kepimpinan meliputi rumahtangga, tempat bekerja, pertubuhan dan sebagainya. 

Dengan kata lain, semua orang berpeluang menjadi pemimpin. Oleh itu, usaha melatih pelajar menjadi pemimpin tidak hanya kepada mereka bercita-cita ingin menjadi pemimpin besar saja. Menjadi pemimpin bermakna mereka adalah terbaik dalam bidang masing-masing dan pada peringkat tertentu.

Maka, semua pelajar perlu melalui proses pembentukan menjadi pemimpin di pelbagai peringkat kepimpinan. Latihan menjadi pemimpin mesti dimula sejak awal lagi, sebaik-baiknya ketika masih di bangku sekolah. 

Pelajar sebenarnya telah menjadi pemimpin di peringkat masing-masing. Hal ini perlu diberi perhatian supaya peluang yang ada dipergunakan sebaiknya untuk lahir sebagai pemimpin terbaik.

No comments:

Post a Comment