Wednesday 17 January 2018

Semak Rang Daftar Pemilih Tambahan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka pendaftaran dan menukar alamat pengundi sepnjang tahun. Bagaimanapun pendaftaran atau menukar alamat itu diproses untuk dimasukkan dalam senarai pemilih dibuat mengikut suku tahun iaitu sebanyak empat kali setahun.

Suku-suku tersebut ialah suku pertama melibatkan bulan Januari, Febuari dan Mac; suku kedua (April, Mei dan Jun); suku ketiga (Julai, Ogos dan September) dan suku keempat bagi bulan Oktober, November dan Disember.

Setiap berakhir suku, kebiasaanya pada bulan berikutnya SPR akan mengeluarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) untuk dipamerkan selama 14 hari. SPR akan mengumumkan tarikh mula dan akhir pameran itu. 

Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada suku sebelumnya dinasihatkan untuk menyemak.

Bagi permohonan pendaftaran baharu, pemohon yang mendapati namanya tidak tersenarai dalam Rang DPT itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan menyerahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT itu.

Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang DPT untuk suku yang dipamerkan di satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT suku yang dipamerkan.

Semasa tempoh pameran Rang DPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih kerana didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab antaranya telah meninggal dunia, melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraanya.

Pemohon boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT suku yang sedang dipamerkan.

Sunday 14 January 2018

Gambar jadi bahan fitnah

Sekeping gambar boleh menceritakan atau mewakili 1000 patah perkataan. Dengan melihat gambar kita boleh mengetahui banyak perkara tanpa perlu ada orang menceritakannya. Gambar tidak menipu.

Namun, sekarang ini macam-macam orang boleh buat terhadap sekeping gambar. Gambar diedit dan superimpose menjadikan orang tidak mudah percaya kepada gambar yang dilihat.

Macam-macam orang menyalahgunakan terhadap sekeping gambar. Gambar telah dijadikan bahan untuk fitnah dan merosakkan reputasi seseorang.

Lihat gambar di atas. Individu yang memikul beras itu telah dituduh sengaja 'duduk' agar paras air nampak dalam sebagai tanda 'pengorbanan' dan susah payah memikul beras untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Hujah yang menuduh demikian ialah 'berpaksikan' kepada paras air hanya takat kepala lutut berdasarkan individu memakai jaket keselamatan itu. Mereka juga berhujah mengatakan tayar kereta itu pun tidak tenggalam.

Jadi, paras dada lelaki yang memikul beras itu adalah menipu atau berlakon sahaja.

Yang sebenarnya, cuba perhatikan betul-betul. Individu memakai jaket keselamatan itu berada dalam keadaan berhati-hati takut terjatuh. Maknanya, di bahagian sebelahnya adalah dalam.

Hal ini tidak sukar untuk dijelaskan. Kereta itu berada di atas jalan yang sempit. Tempat lelaki memikul beras itu adalah di dalam sawah atau bukannya di atas jalan. Maka itu, kedalamannya adalah paras dada berbanding di atas jalan hanya paras lutut.

Jangan gunakan gambar untuk menghukum atau menyerang peribadi orang lain secara tidak benar.

Friday 12 January 2018

Pahala beritahu tiba bulan Safar

"Barang siapa yang memberitahukan berita 1 Safar kepada yang lain, maka haram api neraka baginya". Banyak orang mendakwa kata-kata dari Rasulullah SAW.
   
Sebenarnya, ia bukan hadis. Maknanya bukan dari Rasulullah SAW. Mengenai hadis yang berkaitan dengan keutamaan dan amalan bulan Safar semuanya tidak ada yang sahih, berdasarkan penelitian para ulama, bahkan riwayat di atas termasuk palsu.

Dinyatakan oleh Al-Imam Al-Iroqy (tentang hadis di atas) sebagai hadis yang maudhu atau palsu. (lihat Al-Fawaid Al-Majmuah (hal. 438) karya Imam as-Syaukani, juga kitab Bida wa Akhtho Tata’allaqu bil Ayyam was Syuhur (hal. 251-252) karya Ahmad as-Sulami).

Syaikh Al-Allamah Shiddiq Hasan berkata: “Saya tidak mendapati adanya hadis-hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Safar atau celaan terhadapnya.” (Al-Mauidzhoh Al-Hasanah, hal. 180)

Thursday 4 January 2018

Cara ubah Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan bukan statik atau tidak boleh diubah. Ia berdasarkan kepada keperluan dan penambahbaikan yang berlaku sepanjang masa. Untuk meminda perlembagaan, majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini diperlukan pada kedua-dua dewan di parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Merujuk kepada pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi, perlembagaan ini telah dipinda 42 kali semenjak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005.

Pindaan itu tidak termasuk perubahan kecil yang atau melibatkan angka sebenarnya jumlahnya telah melebihi 500 perubahan. Justeru, "semangat dokumen sebenar telah dicairkan" yang tidak boleh dikatakan itu asal seperti dirangka oleh Lord Reid.

Biarpun dicatatkan terdapt 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, hakikat sebenarnya hanya 167 Perkara saja yang terpakai buat masa sekarang, di mana sebanyak 16 Perkara telah dimansuhkan.

Permansuhan sesuatu perkara dibuat apabila Perkara berkenaan secara keseluruhannya tidak lagi diperlukan. Contoh Perkara yang dimansuhkan ialah Perkara 84 berkaitan bab tanah dan Perkara 129 berkaitan penghakiman. 

Selain pemansuhan keseluruhan sesuatu Perkara, terdapat juga permasuhan hanya pada fasal tertentu sesuatu Perkara. Contohnya Perkara 19 berkaitan kewarganegaraan dengan cara masukan, hanya 19A sahaja yang dimansuhkan.

Jelas sekali, melalui pindaan dan pemasuhan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan menyebabkan ia dianggap sentiasa 'hidup' dan menepati keperluan semasa negara. 

Sistem pemerintahan Malaysia agak unik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kuasa Yang Dipertuan Agung, kuasa jemaah menteri, kuasa parlimen dan kuasa kehakiman.  

Kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi melalui proses silang kuasa yang mengimbangi bidang kuasa pihak-pihak yang berkaitan. 

Biarpun kedududukan Yang Dipertuan Agung tertinggi dalam carta pemerintahan, namun kedudukan baginda terikat kepada nasihat jemaah menteri.  

Yang Dipertuan Agong juga tertakluk kepada undang-undang khusus seperti termaktub dalam Bahagian 15 yang mengandungi Perkara 182 dan 183.

Perlembagaan Persekutuan dibuat di Parlimen, tetapi yang menginterpetasikan atau menguatkuasakan isu yang berkaitan dengannya adalah bidang kehakiman.  

Hakim bertanggungjawab menilai atau menterjemahkan setiap maksud yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan apabila sesuatu isu atau kes dirujuk ke mahkamah. 

Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh parlimen jika undang-undang berkenaan berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini bermakna Parlimen juga tertakluk kepada kehendak-kehendak perlembagaan biarpun berkuasa membuat undang-undang, termasuk berkaitan kandungan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Begitu juga, walaupun Yang diPertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, tetapi harus menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Keunikan Perlembagaan Persekutuan sukar ditemui di negara lain. Maka itu, jelas sekali peri penting  kita memahami dan mempertahankan kedudukannya. Kita berasa kurang senang apabila ada rakyat meragui peranan dan kepentingan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.  

Al Quran tiada siapa mampu menirunya

Kekuatan dan keagungan al-Quran tiada bandinganya. Kandungan al-Quran tidak mampu dicipta oleh manusia. Bahkan, tidak mungkin ada satu ayat ciptaan manusia yang menandingi mana-mana ayat al-Quran. 

Allah telah menegaskan betapa biarpun manusia berkumpul dan menggabungkan fikiran serta saling membantu, tidak mungkin manusia dapat melakukannya.   

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-Isra, ayat 88).

Dalam al-Quran mengandungi pelbagai perkara meliputi semua kehendak dan keperluan manusia berkaitan kepentingan dunia dan akhirat. Kandungan al-Quran boleh diringkaskan kepada empat perkara utama.

Pertamanya, berkaitan mengenai hukum ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji. Keduanya, memperkatakan mengenai peraturan hidup yang perlu diamalkan oleh manusia  seperti mengenai peraturan jual beli, perkahwinan, budi pekerti, pergaulan jiran tetangga, tepati janji dan sebagainya.

Ketiganya ialah menceritakan tentang ilmu sains, perubatan, cakrawala, biologi, kimia dan geografi. Manakala perkara keempat ialah mengenai sejarah dan tauladan hidup masyarakat terdahulu.

Sesungguhnya apa yang tercatat di dalam al-Quran adalah lengkap dan memberi manfaat yang besar kepada manusia sebagai panduan hidup. Semua keperluan panduan hidup manusia terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anam ayat 38 bermaksud: "Tiadalah Kami meninggalkan sesuatu perkara pun dalam al-Quran."

Menariknya, perbahasan dan kajian terhadap kandungan al-Quran tidak akan selesai. Ini membuktikan kehebatan al-Quran Kalam Yang Maha Pencipta. Pemikiran manusia tidak mampu memahami atau menafsirkannya perkataan demi perkataan atau ayat-ayatnya dengan sepenuhnya. 

Kehebatan kandungan al-Quran mendorong bukan Islam turut mengkajinya. Semakin banyak penemuan sains berjaya dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang bukan Islam. 

Ketika pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu telah tercatat di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.

Ketepatan kandungan al-Quran berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli sains, membuktikan al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad.  

Tidak mungkin bagi seorang yang buta huruf seperti Rasulullah dapat mencipta kandungan al-Quran yang mengandungi kenyataan-kenyataan berkaitan sains dan teknologi.

Bahkan, tidak munasabah untuk mengatakan manusia yang hidup lebih 1400 tahun mengetahui tentang penemuan sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih seperti yang terdapat pada masa sekarang.

Perkara ini tidak sukar diterima oleh orang beriman. Allah Maha Pencipta. Dialah mencipta semua makhluk di dunia ini. Jadi, Dia dapat menceritakan dengan jelas bagaimana proses setiap kejadian dengan tepat.

Malah sebahagian kandungan al-Quran yang menyatakan mengenai kejadian alam, merupakan bukti kewujudan Allah dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad. 

Firman Allah SWT menjelaskan bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fushshilat, ayat 53).

Pengkaji Barat yang selama ini bermegah dengan doktrin bahawa agama dan sains terpisah, terpaksa mengakui kebenaran al-Quran. Agama Islam adalah panduan dan cara hidup. Sebab itu, al-Quran memberikan gambaran menyeluruh berkaitan kehidupan manusia.

Disebabkan kandungan al-Quran tidak mampu dijelaskan sepenuhnya oleh sesiapa, maka ia memberi peluang untuk manusia sepanjang masa tidak putus-putus membongkar segala rahsia yang terkandung di dalamnya. 

Semakin banyak penafsiran dibuat, maka lebih banyak manfaat yang diperoleh melaluinya, biarpun di atas perkara yang sama. Memang satu perkara yang amat istimewa apabila satu perkataan atau ayat yang sama di dalam al-Quran ditafsir dalam makna yang berbeza-beza oleh para ulama. 

Perbezaan itu memberi peluang meningkatkan lagi kelebihan dan kebaikan di sebaliknya. Bagaimanapun, ini tidak pula bermakna seseorang itu boleh menafsirnya dengan sesuka hati untuk kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu.  

Sesungguhnya amat celakalah sesiapa menggunakan al-Quran dengan niat menjermuskan kepada kesesatan. 

Firman Allah menjelaskan mengenainya dalam surah an-Nahl, ayat 64 bermaksud: “Dan Kami tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”

Allah menegaskan agar manusia sentiasa mengkaji, memahami dan menggunakan segala anugerahnya untuk kebaikan. Segala apa yang dicipta oleh-Nya dalam keadaan sempurna dan ini dapat manusia perhatikan melalui pengamatan dan fikiran yang terbuka.

Biarpun secara umumnya ilmu yang terkandung dalam al-Quran sudah banyak dikaji oleh para sainstis, namun masih banyak yang tersembunyi. Al-Quran masih releven dan akan terus releven sepanjang zaman untuk dijadikan panduan dalam semua bidang, termasuklah berkaitan sains dan teknologi.

Justeru, al-Quran perlu terus dibaca dan diulang-ulang bacaannya. Semakin dibaca dan diulang-ulang, maka semakin banyak kebaikan diperoleh. Menggali khazanah al-Quran tidak akan habis-habis sampai bila-bila. Selagi dikaji dan dibongkar rahsia yang terkandung di dalam al-Quran, manusia akan merasakan betapa besarnya kekuasa Allah dan kerdilnya manusia.

Ayat pertama dibaca oleh Rasulullah ialah surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhammu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” 

Bagaimanapun, sekiranya apa terkandung di dalam al-Quran tidak diperdulikan, yakni tidak mengikuti apa disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang, terimalah azab maha pedih. Kehidupan manusia akan hancur dan sesat tanpa panduan al-Quran.