Thursday 4 January 2018

Cara ubah Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan bukan statik atau tidak boleh diubah. Ia berdasarkan kepada keperluan dan penambahbaikan yang berlaku sepanjang masa. Untuk meminda perlembagaan, majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini diperlukan pada kedua-dua dewan di parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Merujuk kepada pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi, perlembagaan ini telah dipinda 42 kali semenjak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005.

Pindaan itu tidak termasuk perubahan kecil yang atau melibatkan angka sebenarnya jumlahnya telah melebihi 500 perubahan. Justeru, "semangat dokumen sebenar telah dicairkan" yang tidak boleh dikatakan itu asal seperti dirangka oleh Lord Reid.

Biarpun dicatatkan terdapt 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, hakikat sebenarnya hanya 167 Perkara saja yang terpakai buat masa sekarang, di mana sebanyak 16 Perkara telah dimansuhkan.

Permansuhan sesuatu perkara dibuat apabila Perkara berkenaan secara keseluruhannya tidak lagi diperlukan. Contoh Perkara yang dimansuhkan ialah Perkara 84 berkaitan bab tanah dan Perkara 129 berkaitan penghakiman. 

Selain pemansuhan keseluruhan sesuatu Perkara, terdapat juga permasuhan hanya pada fasal tertentu sesuatu Perkara. Contohnya Perkara 19 berkaitan kewarganegaraan dengan cara masukan, hanya 19A sahaja yang dimansuhkan.

Jelas sekali, melalui pindaan dan pemasuhan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan menyebabkan ia dianggap sentiasa 'hidup' dan menepati keperluan semasa negara. 

Sistem pemerintahan Malaysia agak unik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kuasa Yang Dipertuan Agung, kuasa jemaah menteri, kuasa parlimen dan kuasa kehakiman.  

Kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi melalui proses silang kuasa yang mengimbangi bidang kuasa pihak-pihak yang berkaitan. 

Biarpun kedududukan Yang Dipertuan Agung tertinggi dalam carta pemerintahan, namun kedudukan baginda terikat kepada nasihat jemaah menteri.  

Yang Dipertuan Agong juga tertakluk kepada undang-undang khusus seperti termaktub dalam Bahagian 15 yang mengandungi Perkara 182 dan 183.

Perlembagaan Persekutuan dibuat di Parlimen, tetapi yang menginterpetasikan atau menguatkuasakan isu yang berkaitan dengannya adalah bidang kehakiman.  

Hakim bertanggungjawab menilai atau menterjemahkan setiap maksud yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan apabila sesuatu isu atau kes dirujuk ke mahkamah. 

Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh parlimen jika undang-undang berkenaan berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini bermakna Parlimen juga tertakluk kepada kehendak-kehendak perlembagaan biarpun berkuasa membuat undang-undang, termasuk berkaitan kandungan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Begitu juga, walaupun Yang diPertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, tetapi harus menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Keunikan Perlembagaan Persekutuan sukar ditemui di negara lain. Maka itu, jelas sekali peri penting  kita memahami dan mempertahankan kedudukannya. Kita berasa kurang senang apabila ada rakyat meragui peranan dan kepentingan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.  

No comments:

Post a Comment